Friday 23 December 2011

Globalisasi Telah Mewujudkan Dasar Wanita Negara

Wanita terdiri daripada hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah melupakan sumber ekonomi yang penting.
Buat masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990. Di sektor luar bandar dan pertanian, wanita terus merupakan faktor penting. Gunatenaga wanita juga telah bertambah dengan banyaknya di dalam sektor pembuatan terutamanya dalam sektor tekstail dan elektronik. Di sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan masyarakat, sosial, persendirian serta sektor awam, penyertaan wanita juga kian meningkat. Wanita juga telah lama memainkan peranan yang aktif di bidang politik negara. Mereka merupakan kumpulan pengundi yang kuat dan sering memainkan peranan sebagai penarik pengundi.
Kerajaan telah lama mengiktiraf sumbangan besar wanita di dalam pembangunan negara. Oleh itu kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara dengan membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi menceburi bidang sosial, ekonomi dan politik. Beberapa institusi telah ditubuhkan untuk mengintegrasikan wanita ke dalam aliran utama pembangunan. Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) di Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 1976 bagi menterjemahkan pelan tindakan sedunia mengenai wanita dalam pembangunan negara.
Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) telah ditubuhkan untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan swasta bagi faedah kaum wanita. Selain daripada bertindak sebagai pusat maklumat utama mengenai hal ehwal wanita, HAWA juga berfungsi sebagai urusetia kepada NACIWID.
Sistem penyampaian pelbagai perkhidmatan sokongan untuk wanita telah diperkukuhkan lagi melalui aktiviti organisasi-organisasi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa Lembaga Kemajuan Wilayah. Penubuhan sebuah agensi amanah bukan kerajaan iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut membantu mempertingkatkan penyertaan kaum wanita terutamanya di luar bandar di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi bukan ladang.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain juga memainkan peranan yang penting ke arah meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.
NGO seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Perkumpulan Wanita (Wl), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Bantuan Wanita Islam dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam serta pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain telah menyediakan berbagai program pembangunan berbentuk jayadiri dan kemudahan-kemudahan sokongan yang lain.
 
Rasional
Menyedari pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, ekonomi dan politik negara, kerajaan mengakui bahawa strategi-strategi yang khusus perlu dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan. Usaha gigih perlu diambil untuk membantu wanita melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial dan ekonomi yang utama. Ini memerlukan satu dasar bagi memberi panduan serta arah haluan dalam segala usaha pembangunan supaya kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai dan diintegrasikan sumbangan mereka dalam proses pembangunan negara.
Menyedari hakikat inilah kerajaan telah menggubal Dasar Wanita Negara (DWN) dalam tahun 1989. Penggubalan dasar ini memperjelaskan kesungguhan kerajaan ke arah membantu penyertaan wanita dalam arus pembangunan negara dengan lebih bermakna. DWN menyediakan garis panduan bagi mengintegrasikan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negara.

Objektif-objektif Dasar Wanita Negara ialah:
(i)  untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat, di samping mendapatkan peluang dan faedah dari pembangunan; dan

(ii)  untuk mengintegrasikan kaum wanita ke dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf serta memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur

No comments:

Post a Comment