Saturday 10 December 2011

Wanita Dan Pekerjaan

 Semenjak 40 tahun yang lalu, wanita telah mencapai satu kemajuan mengagumkan di tempat kerja di Malaysia. Malah, sejak tahun 1970-an, bilangan mereka yang menyertai dunia pekerjaan bertambah ramai. Peratusan tenaga kerja wanita meningkat dari 37 peratus pada tahun 1970 ke 43.5 peratus pada tahun 1995, dan 47.7 peratus pada tahun 2003.1 Dikenali sebagai “feminisme buruh”, konsep ini termasuklah
(a) wanita bekerja dalam industri kilang yang berteraskan ekspot, buruh intensif dan memerlukan kemahiran rendah
(b) wanita bekerja dalam sektor yang dikuasai lelaki
(c) wanita terus bekerja dalam sektor pekerjaan yang pada tradisinya adalah bidang wanita dan
(d) wanita bekerja di luar negara.

Seperti rakan sejawat lelaki mereka, wanita juga terpaksa menghadapi perubahan ekonomi akibat daripada serangan pantas globalisasi. Dengan adanya persaingan globalisasi yang sengit antara syarikat, lebih banyak pekerjaan menjadi goyah dan tidak stabil kedudukannya, mengakibatkan keadaan tempat kerja menjadi kurang sihat atau kurang menyenangkan, bagi lelaki dan wanita.

Tidak seperti rakan sejawat lelaki mereka, wanita masih dikongkong oleh nilai-nilai budaya, norma dan konsep patriarki terhadap fungsi-fungsi gender dalam masyarakat. Wanita masih bertanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak. Sudah menjadi perkara biasa wanita bekerja untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Namun mereka tidak dibayar upah yang sama seperti apa yang dibayar kepada lelaki, sebab utamanya ialah mereka tidak dianggap sebagai pencari nafkah keluarga.

Malah, daripada data, secara globalnya, wanita memperoleh pendapatan 20 hingga 30 peratus kurang daripada pendapatan lelaki. Wanita juga kekal berada di tahap terendah dalam pasaran buruh. Manakala kerja rumah tidak berbayar yang dilakukan oleh wanita menyumbang kepada satu pertiga daripada hasil ekonomi sedunia; waktu bekerja bagi pekerja wanita adalah lebih lama berbanding dengan rakan sekerja lelaki iaitu sebanyak 30 peratus di negara-negara membangun; dan lebih banyak wanita diambil bekerja dalam pekerjaan yang kurang kepentingannya dan tidak stabil kedudukannya, termasuklah bekerja dari rumah, secara sambilan dan bekerja sementara.

No comments:

Post a Comment