Arus pengeluaran dan strategi pengurusan terkini akibat dari globalisasi ekonomi amatlah membimbangkan, terutamanya bagi pekerja wanita. Istilah seperti keanjalan guna tenaga, outsourcing dan subkontrak merupakan satu kebiasaan dalam pengurusan pengeluaran dalam persaingan pasaran global.
Dengan pengstrukturan semula ekonomi dan krisis kewangan tahun 1997, syarikat-syarikat menggabungkan kerja-kerja perkilangan formal dengan yang tidak formal, kerja-kerja disubkontrak dan kerja dari rumah.
Langkah-langkah itu ialah usaha untuk mengurangkan kos dan keanjalan guna tenaga; dan banyak diamalkan di mana:
• Jumlah pekerja utama dikurangkan dan kerja-kerja sampingan diserahkan kepada syarikat lain;
• Pekerja berkemungkinan akan dibuang atau ditawarkan “Skim Persaraan Sukarela” dan kemudian diambil bekerja semula, tetapi dengan gaji yang lebih sedikit dan taraf pekerjaan yang tidak tetap;
• Pekerja bergaji digantikan dengan pekerja keluarga tidak berbayar dan kebanyakan daripada mereka adalah wanita; dan
• Pekerja sementara, kontrak, pendatang asing dan/atau pekerja kasual diambil bekerja, bilangannya bertambah oleh agen luar atau syarikat-syarikat yang menjalankan subkontrak, dan dibayar upah harian.
Melalui mekanisma fleksibiliti di atas, kedudukan pekerja lelaki dan wanita tergugat dan dengan mudah dieksploitasi kerana keadaan pekerjaan yang tidak stabil. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa lebih ramai pekerja wanita bekerja secara sambilan atau kasual berbanding dengan pekerja lelaki.
Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu turun-naiknya, maka menjadi kritikal untuk jaringan keselamatan sosial diperbadankan ke dalam sistem ekonomi dan politik. Ini supaya pekerja mendapat perlindungan sosial jika dibuang atas alasan strategi pengurusan keanjalan tenaga kerja.
No comments:
Post a Comment